Bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin disahkan bakal memulakan saingan di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) musim 2022 bersama tajaan helmet baharu, KYT.
Hafizh yang sekian lama menyarung helmet SHOEI sebelum ini, akan bertanding di pentas WorldSBK bersama KYT buat julung kalinya dalam karier pelumba itu.
Hafizh turut mengumumkan penajaan helmet KYT di akaun Instagram miliknya yang turut kelihatan bergambar bersama dua model helmet KYT, NFJ Tigra dan NFJ Falco.
Pelumba berusia 27 tahun itu bakal membuat penampilan pertamanya di WorldSBK musim 2022 bersama MIE Racing Honda Team setelah disahkan meninggalkan saingan Kejuaraan Dunia Moto2 bersama NTS RW Racing pada hujung musim lalu.
Sementara itu, Hafizh bakal digandingkan bersama Leandro ‘Tati’ Mercado, yang turut diumumkan sebagai pelumba rasmi bagi musim 2022 selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan tahun lalu.
MIE Racing Honda Team turut mengesahkan bahawa Hafizh dan Mercado bakal beraksi dengan jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade.