SYM Lancar Motosikal ADV NH-T 300 Di Eropah – Enjin 278cc, 25HP

Eropah merupakan pasaran sengit bagi motosikal bersesaran 250cc hingga 400cc, maka tak hairanlah, pasaran Eropah menjadi tumpuan bagi pengeluar motosikal dunia.

Terbaru, jenama motosikal Taiwan, SYM tekad untuk memberi saingan dalam pasaran motosikal adventure bersesaran 250cc hingga 400cc di Eropah menerusi NH-T 300.

SYM NH-T 300 itu merupakan percubaan sulung SYM dalam menyaingi pasaran ADV bersesaran kecil di Eropah yang sebelum ini dimonopoli beberapa model antarnaya KTM 390 Adventure, Royal Enfield Himalayan serta Kawasaki Versys-X 300.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan model lain, SYM NH-T 300 terbaru itu merupakan model yang paling kurang berkuasa apabila enjin satu silinder 278cc dengan penyejukan cecair itu hanya menawarkan 25hp. Apa pun, enjin tersebut berjaya mencapai standard Euro 5 sekaligus menjaminkan pembakaran yang lebih efisien dan tidak meninggalkan kesan karbon yang tinggi.

Pada masa sama, meskipun angka kuasa itu meletakkan NH-T 300 seangkatan dengan Himalayan namun, motosikal jenama Royal Enfield itu menampilkan ciri off-road berkemampuan tinggi.

Malah, SYM NH-T 300 itu lebih bercirikan motosikal untuk kegunaan jalan raya dengan penggunaan rim 19-inci yang dipadankan bersama tayar jalan raya.

Bagaimanapun, SYM mendakwa NH-T 300 itu mampu merekodkan kelajuan 140km/j.

Sementara itu, rekaan keseluruhan NH-T 300 ini tampak agak ketinggalan, malah tawaran terbaru Yamah menerusi Crosser 150 nampak lebih menarik dan agresif.

Walaupun aspek rekaan dan spesifikasi jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pesaing lain namun SYM NH-T 300 ini pastinya didatangkan dengan tanda harga yang lebih mampu milik.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]