Tahun 2021 menyaksikan Petronas meraikan ulang tahun ke-46 sejak penubuhan dan secara kebetulan merupakan tahun sama bagi Valentino Rossi membuat penampilan terakhirnya di pentas MotoGP bersama pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT).
Bagi meraikan musim terakhir pelumba Itali itu, Yamaha Motor Europe telah pun mempersembahkan 46 unit edisi terhad jentera replika YZF-R1 M yang diinsiprasikan daripada Petronas MotoGP YZR-M1.
Ketika pelancaran tersebut kesemua 46 unit itu ditawarkan pada harga EUR46,000 (RM219 ribu).
Sasaran pembinaan model tersebut adalah menghasilkan sebuah jentera yang hampir menyamai jentera factory Petronas Yamaha namun boleh digunakan di jalan raya.
Yamaha Austria Racing Team (YART) GYTR Pro Shop telah dipertanggungjawabkan bagi membangunkan jentera replika tersebut yang dipasang dengan fork depn FGRT 2, spring belakang TTX dan steering damper.
Jentera replika tersebut turut dipasang dengan fungsi ‘quick-release’ bagi tayar belakang, footpeg baru dan ECU R1 khas.
Sementara itu, sistem brek pula dikendalikan Brembo dengan kaliper GP4-RX yang dipadankan bersama tayar slick dari Michelin. Model ini juga dilengkapi ‘winglet’ dan livery Petronas SRT.
Menariknya, daripada 46 unit replika tersebut, unit ke-13 dibuka untuk bidaan menerusi platform bidaan Catawiki. Menurut laman sesawang itu, jentera tersebut adalah serba baharu dan belum didaftarkan.
Jentera tersebut dijangka akan mencapai harga sekitar RM350 ribu.