Musim 2021 MotoGP pastinya yang paling kucar kacir bagi karier Maverick Vinales.
Bukan sahaja kontraknya bersama Yamaha ditamatkan serta-merta malah pasukan kendalian Lin Jarvis itu turut menuduh Vinales dengan sengaja cuba merosakkan jentera YZR-M1 ketika di GP Styria.
Dalam pendedahan terbaru, Vinales mengakui kesilapan terbesarnya adalah meninggalkan Suzuki untuk sertai pasukan Yamaha pada 2017.
“Saya tidak berminat untuk bercakap tentang masa lalu tetapi memang jelas saya telah lakukan kesilapan.
“Meskipun kami mempunyai pasukan yang baik ketika itu namun Yamaha mempunyai jentera yang mampu menang jadi saya memilih jalan itu.
“Tetapi walaupun jentera M1 itu hebat tetapi kami tidak dapat mencari jalan bagaimana untuk mengendalikannya. Ada masa saya sukar dikalahkan tapi ada masa saya berada di belakang.
“Saya rasa tak tentu hala,” jelasnya.
Bekas juara dunia Moto3 itu naik ke kelas premier bersama Suzuki selepas mempamerkan prestasi mengagumkan di Moto2.
Vinales menghabiskan masa dua musim bersama Suzuki dan menghadirkan kemenangan sulung pasukan itu sejak 2007 ketika di GP Britain pada 2016.
Dia kemudiannya berangkat ke Yamaha bagi menggantikan tiga kali juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo yang beralih ke Ducati sebelum meninggalkan Yamaha pada pertengahan musim 2021 dan sertai Aprilia bagi musim 2022.
Bagaimanapun, ekoran kontraknya ditamatkan lebih awal, Vinales dibenarkan membuat penampilan bersama Aprilia sewaktu pusingan ke-13 di Aragon dalam usaha mencapai keserasian dengan jentera Aprilia RS-GP.