Triumph Tiger 1200 Masuk Malaysia Suku Kedua Tahun Ini

Triumph Tiger 1200 merupakan antara motosikal yang dinanti-nanti sejak dilancarkan secara global pada awal Disember tahun lalu.

Ketika itu ramai yang tertanya-tanya bilakah model baharu tersebut akan tiba di Malaysia.

Bagaimanapun, perkongsian terbaru oleh Triumph Motorcycles Malaysia mendedahkan bahawa Triumph Tiger 1200 itu akan tiba sekitar suku kedua tahun ini.

Makluman itu bukanlah satu kejutan tatkala Fast Bike Sdn Bhd (selaku pengedar rasmi jenama Triumph di Malaysia) sering saja membawa masuk model baharu dalam tempoh singkat dari tarikh pelancaran global.

Berita baik itu sekaligus memberi ruang pada peminat Triumph di Malaysia untuk menabung sementara menanti ketibaan model baharu tersebut.

Pembangunan Tiger 1200 kali ini memfokuskan dalam menghasilkan jentera ‘adventure-touring’ yang lebih ringan dan berkuasa di samping menyuntik spesifikasi berkelas dunia.

Hasilnya, Triumph berjaya mengurangkan berat sehingga 25 kilogram berbanding model sebelumnya dan 17kg lebih ringan berbanding pesaing lain.

Di tengah-tengah pembangunan Tiger 1200 terletaknya enjin dengan ‘crank T-Plane’ baharu yang sebelum ini diperkenalkan pada varian Tiger 900.

‘Crank T-Plane’ membolehkan enjin menghasilkan ‘rev’ yang lebih efisien dan bertenaga ketika rpm rendah dan tinggi.

Enjin 1160cc itu kini menghasilkan 147hp pada 9,000rpm dan 130Nm pada 7,000rpm – naik 8.5hp dan 8Nm berbanding generasi sebelumnya.

Bagi tahun 2022, Tiger 1200 kini tampil dengan varian GT dan Rally serta versi Explorer yang tampil dengan tangki 30L serta menawarkan ciri elektronik tambahan.

Tiger 1200 GT dan GT Pro dilengkapi suspensi Showa separa-aktif elektronik di samping tayar 19-inci depan dan 18-inci belakang manakala Rally dan Rally Pro didatangkan bersama tayar 21″ depan dan 18″ belakang dengan rim jenis ‘wire-spoke’ (lidi) tubeless.

Sementara itu, Tiger 1200 Explorer pula lengkap dengan ciri keselamatan ‘blind spot detection system’ seperti yang terdapat pada Ducati Multistrada V4, KTM 1290 Super Adventure S dan BMW R 1250 RT.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply