Harap Ada Pihak Ambil Alih Peranan Letak Pelumba Malaysia Di MotoGP – Razlan Razali

Pasukan Sepang Racing Team (SRT) secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada MotoGP selepas enam musim.

Bekas prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali menyifatkan meskipun pengakhiran itu bukanlah sesuatu yang diingankannya namun semua pihak perlu menerima hakikat tersebut.

Ketika SRT disahkan tidak lagi bertanding di MotoGP, rata-rata meluahkan rasa kecewa kerana senario itu menyukarkan lagi peluang untuk menyaksikan pelumba tempatan beraksi di MotoGP.

Namun, Razlan mengharapkan ada pihak lain yang mampu meneruskan misi itu.

“Kami mahu melakukan lebih lagi terutama sebagai platform buat pelumba Malaysia tetapi malangnya situasi tidak membenarkan untuk kami terus berusaha meletakkan pelumba Malaysia ke Kejuaraan Dunia 2022.

“Kami berharap akan ada pihak tertentu yang boleh mengambilalih peranan ini,” jelasnya.

Sementara itu, Razlan turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat sama ada yang menyokong atau membenci perjalanan SRT selama ini.

“Terima kasih juga kepada semua peminat pasukan terutama kepada yang membenci.

“Ia menunjukkan minat mereka terhadap MotoGP dan pasukan sebenarnya sangat kuat.

“Peminat MotoGP beremosi serta vokal dan itu menjadi sebahagian daripada permainan.

“Kami disanjung apabila dapat melakukan yang terbaik dan dibenci apabila sebaliknya atau sekiranya tidak ada pelumba Malaysia.

“Kami tidak boleh memenangi hati semua penyokong namun kami sudah mencuba sebaik mungkin,” tambah Razlan.

Meskipun SRT terkubur namun Razlan bakal meneruskan karier di MotoGP sebagai pengendali RNF MotoGP Racing Team bersama dua tonggak baharu, Andrea Dovizioso dan Darryn Binder bagi musim 2022. – HM

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]