MotoGP: Honda Cuba Pancing Antara Quartararo Dan Mir – Carlo Pernat

Kalendar MotoGP musim 2022 semakin membuka tirai bermula dengan sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang pada Februari.

Bagaimanapun, menjelang ujian rasmi tersebut, sudah mula beberapa khabar angin mengenai pasukan dan pelumba di MotoGP.

Dalam satu sesi perbincangan menerusi program Bar Sport, pengurus MotoGP, Carlo Pernat mendedahkan Honda sedang mengintip beberapa pelumba baharu.

“Honda sedang terdesak untuk cuba mendapatkan seorang pelumba yang mampu menghadirkan kemenangan,

“Terdapat dua nama disebut; (Fabio) Quartararo dan (Joan) Mir, tetapi peluang lebih tinggi untuk Mir sertai Honda kerana dia tidak menelan belanja yang tinggi dan dia juga merupakan calon tepat.

“Secara peribadi, senario ini akan ditentukan sebaik sahaja Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2022 bermula,” jelasnya.

Bagi Pernat, Honda tidak boleh bergantung kepada Marc Marquez seorang sahaja apatah lagi keadaan fizikalnya masih lagi tidak dapat dipastikan.

“Buat masa ini tiada perkabaran bilakah Marc (Marquez) akan dibenarkan kembali. Apabila tiada khabar berita bermakna tiada perkembangan positif buat masa ini.

“Saya rasa Marquez juga tidak akan terlibat dengan sesi ujian rasmi di Sepang,” tambahnya.

Ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 6 Februari depan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]