Konvoi Ke Langkawi Berakhir Dengan 473 Saman Dan Sebuah Motosikal Disita

Baru-baru ini tular rakaman video memaparkan sekumpulan motosikal kapcai yang bertandang ke Langkawi telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu operasi.

Operasi tersebut menyaksikan beberapa anggota telah ditempatkan di tapak mendarat feri ke Langkawi.

Berdasarkan video berdurasi 13 saat itu jelas menunjukkan konvoi motosikal kapcai ditahan sebaik tiba di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.

Menurut laporan BH Online, operasi tersebut menyaksikan 473 saman telah dikeluarkan PDRM terhadap penunggang motosikal yang konvoi ke Langkawi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari yang turut memaklumkan jumlah saman tersebut dikeluarkan selepas melakukan pemeriksaan terhadap semua 1,200 motosikal.

“Mereka tiba melalui tiga perkhidmatan feri penumpang dan kenderaan dari Kuala Perlis ke Jeti Tanjung Lembung, Langkawi, iaitu pada jam 5 petang, diikuti jam 9 dan 11 malam tadi.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 473 motosikal disaman PDRM membabitkan 606 pelbagai kesalahan trafik dengan majoriti tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi,” jelasnya.

Jelas Shariman lagi, rata-rata konvoi motosikal tersebut datang dari Lembah Klang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

“Sebuah motosikal bukan sahaja tiada nombor pendaftaran, malah digantikan dengan tulisan ‘Langkawi Attack #JB_MARI’,” tambahnya. – BH

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply