ShiftBoss 2.0 Jajan Baharu Untuk 30,000 Pengguna ECU TuneBoss

FSR Technology kali ini memperkenalkan ShiftBoss 2.0 untuk pasaran tempatan.

ShiftBoss 2.0 ini merupakan sistem ‘quickshifter’ yang membolehkan penunggang menukar gear dengan pantas tanpa perlu menarik klac atau menutup ‘throttle’.

Menariknya, ShiftBoss 2.0 ini bukan sahaja boleh digunakan dengan ECU TuneBoss generasi kedua yang dilancarkan baru-baru ini malah boleh diselaraskan bersama TuneBoss generasi pertama.

ShiftBoss 2.0 ini membolehkan pemilik motosikal bersesaran 250cc ke bawah termasuk kapcai merasai fungsi yang sebelum ini hanya popular dikalangan motosikal berkuasa tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FSR Technology, Farhan Ali, hasil pembangunan lebih 2 tahun, ShiftBoss 2.0 menawarkan tahap kebolehpercayaan yang lebih tinggi berbanding versi terdahulu.

“Sehingga hari ini, terdapat lebih dari 30,000 pengguna ECU TuneBoss sejak ia dilancarkan tujuh tahun yang lalu pada 30 Oktober 2014.

“Setakat ini, hanya sekitar 10% yang telah memasang modul quickshifter, ini mungkin disebabkan oleh kerana ShiftBoss versi lama hanya direka untuk dua model sahaja.

“Sekarang, selain dari dua model itu, iaitu Yamaha FZ150i dan Y15ZR, ShiftBoss 2.0 juga sesuai untuk model-model lain seperti R25, R15, MT-15, Y16 dan Honda RS150R,” jelasnya.

Pada masa sama, Farhan menjelaskan ShiftBoss 2.0 kali ini juga sangat mampu milik dan unik.

“Untuk sistem ShiftBoss 1.0, kami tidak menyedari bahawa betapa uniknya sistem itu, oleh itu kami tidak memohon perlindungan harta intelek (IP). Untuk ShiftBoss 2.0, kami telah belajar dari pengalaman. Kami tahu sistem kami unik dan inovatif dan kami telah mengambil langkah untuk memastikan IP kami dilindungi,” tambahnya.

ShiftBoss 2.0 ditawarkan pada harga RM250 namun pengguna ShiftBoss lama boleh menaik taraf ke versi baharu itu dengan kos RM100 sahaja.

Perlu diingatkan bahawa ShiftBoss 2.0 hanya boleh dipadankan bersama motosikal yang menggunakan ECU TuneBoss generasi pertama dan kedua sahaja.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]