Kerajaan Tak Benarkan E-Hailing Motosikal Beroperasi

Timbalan Menteri Pengangkutan , Datuk Henry Sum Agong memaklumkan bahawa kerajaan tidak merancang untuk benarkan perkhidmatan e-hailing motosikal beroperasi.

Menurut Datuk Henry, e-hailing motosikal (atau teksi motosikal) tidak boleh beroperasi selepas mengambil kira faktor keselamatan dan risiko nahas jalan raya.

Sebaliknya, Henry menyifatkan perkhidmatan e-hailing sedia ada berpotensi besar untuk dinaik taraf terutamanya dari segi kualiti perkhidmatan.

“Oleh yang demikian, pada masa ini, Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing atau teksi motosikal mengambil kira pelbagai aspek terutamanya isu keselamatan dan kebajikan penumpang.

“Hal ini mengambil kira bahawa risiko nahas jalan raya termasuk kematian atau kecederaan adalah amat tinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di Malaysia.

“Selain itu, isu-isu melibatkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan juga menjadi satu perkara yang perlu diberi perhatian serius dalam kalangan pengguna motosikal sedia ada,” jelasnya.

Sebelum ini, terdapat beberapa gesaan untuk membenarkan perkhidmatan e-hailing motosikal dijalankan di Malaysia namun cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi. – UTUSAN

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]