RASMI: Hafizh Syahrin Tinggalkan MotoGP

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin mengesahkan tidak akan beraksi di Kejuaraan Dunia MotoGP musim depan.

Menurut pelumba NTS RW Racing itu, antara faktor yang mendorong keputusan berat tersebut dibuat ekoran kesukaran mencapai keputusan yang diinginkan.

“Saya dah buat sehabis baik tapi saya dan pasukan tidak tahu cara macam mana lagi untuk tingkatkan prestasi jentera,” jelasnya.

Pada masa sama, Hafizh akui faktor kekangan kewangan juga mendorong dirinya membuat keputusan tersebut setelah lapan tahun berkelana di Kejuaraan Dunia.

“Walaupun ramai yang harap saya kekal tetapi saya juga perlu memikirkan masa depan saya,” tambahnya.

Bagi pelumba berusia 27 tahun itu, dia enggan kekal di Kejuaraan Dunia semata-mata untuk membawa dana dan tajaan bagi pasukan Eropah sedangkan prestasi jentera tidak memuaskan.

Sementara itu, Hafizh tidak menolak peluang untuk beraksi di kejuaraan lain antaranya di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC). – HM