Benelli Bakal Lancar Motosikal ADV Dengan Enjin V-Twin 650cc

Jenama motosikal Itali, Benelli bakal sertai segmen motosikal 650cc dengan sebuah model adventure serba baharu.

Perkara itu disahkan menerusi paten baharu yang difailkan di China oleh syarikat induk Qianjiang Group.

Qianjiang Group, yang merupakan syarikat pemegang jenama Benelli dan QJMotor telah memfailkan paten yang memaparkan sebuah motosikal ADV 650cc.

Paten tersebut mendedahkan beberapa aspek penting yang mencuri tumpuan antaranya penggunaan penghadang angin pendek, tetapan lampu tunggal yang diapit dengan dua DRL (daytime running light), handguard serta fairing sisi yang memanjang.

Menariknya, paten tersebut turut memaparkan ketiadaan ‘beak’ depan sekaligus menyamai konsep rekaan terdapat pada Yamaha Tenere 700 dan Aprilia Tuareg 660.

Bahagian pelana pula mengguna pakai jenis ‘split seat’ manakala tempat duduk pillion didatangkan dengan pemegang sisi yang besar sama seperti model ADV popular lain.

Sementara itu, motosikal baharu ini bakal dikuasakan enjin V-Twin 650cc yang dicanang menghasilkan sekitar 70hp sekaligus meletakkan model ini seangkatan dengan Suzuki V-Strom 650XT.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • rim jenis spoke (tubeless) 19″ depan dan 17″ belakang
  • tangki 20L
  • cakera brek berkembar
  • fork teleskopik
  • kerangka tubular steel trellis serba baharu
  • ABS
Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]