MotoGP: Bekas Ketua Kru Maverick Vinales Sertai KTM

KTM telah pun mengesahkan bahawa bekas ketua kru Maverick Vinales, Esteban Garcia, telah menyertai Tech3 dan akan menggalas tugas selaku pengarah teknikal.

Garcia telah pun meninggalkan Vinales dan Yamaha pada Jun lalu dengan tempatnya digantikan Silvano Galbusera, yang merupakan bekas ketua kru Valentino Rossi.

Sewaktu Garcia digantikan, Vinales akui tidak gembira dengan keputusan tersebut, sebelum pelumba Sepanyol itu turut serta angkat kaki meninggalkan Yamaha dan berhijrah ke Aprilia, baru-baru ini.

Sementara itu, Garcia, yang mempunyai pengalaman luas di pentas MotoGP sebelum ini, akan menggalas tugas selaku pengarah teknikal KTM di Tech3.

“Esteban (Garcia) akan menjadi pengarah teknikal pasukan dan akan menyelia segala tugas di samping berkerjasama dengan jurutera KTM,” jelas pengendali Tech3, Herve Poncharal.

Pelantikan Garcia juga penting dalam membangunkan karier Remy Gardner dan Raul Fernandez musim depan.

“Dia (Garcia) cukup kenal dengan KTM termasuk Raul Fernandez dan Remy Gardner sejak mereka kecil lagi.

“Kedua-dua pelumba ini percayakan dia,” tambah Poncharal.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.