Yamaha YZF-R15M Dilancarkan Di India – Dengan Quickshifter Dan Traction Control

Yamaha YZF-R15M telah pun mendarat di India yang tampil dengan pelbagai penambahbaikan terbaru.

Antara aspek paling menonjol adalah rekaan keseluruhan R15M ini yang diinspirasikan daripada model terbaru, Yamaha YZF-R7.

Tetapan dua lampu kini digantikan dengan lampu LED tunggal yang diapit dengan dua lampu LED DRL (daytime running light).

Bahagian panel sisi juga menyerupai R7 dan berfungsi mewujudkan aerodinamik yang lebih baik dengan mengurangkan tahap ‘drag’ dari 0.307 kepada 0.293.

Sementara itu, bahagian sub-frame juga telah diperkuatkan bagi menambahbaik keseimbangan jentera.

Antara ciri lain diperkenalkan adalah fork jenis USD dan tempat duduk dengan kemasan ala gentian karbon, cakera brek depan dan belakang dengan bantuan ABS dwi-saluran.

Yamaha R15M ini juga dilengkapi paparan LCD digital dengan fungsi Yamaha Y-Connect yang boleh disambung ke telefon pintar menggunakan Bluetooth.

Namun apa yang mencuri perhatian, R15M ini juga didatangkan dengan fungsi quickshifter dan traction control sekaligus menghadirkan pengalaman menunggang yang lebih menarik.

Menurut laporan, quickshifter tersebut akan diaktifkan sebaik jentera melebihi kelajuan 20km atau rpm enjin melebihi 2,000rpm.

Yamaha R15M ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 155cc dengan penyejukan cecair yang dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan dan menawarkan 18.3hp dan 14.1Nm.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]