MotoGP: Ketibaan Quartararo Di Yamaha Ganggu Vinales – Lorenzo

Tiga kali juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo, menyifatkan situasi yang menimpa Maverick Vinales mempunyai kaitan rapat dengan ketibaan Fabio Quartararo di Monster Energy Yamaha.

Yamaha telah membuat keputusan untuk menamatkan kontrak Vinales serta-merta ekoran kejadian yang berlaku di GP Austria apabila pelumba Sepanyol itu didakwa sengaja cuba merosakkan enjin YZR-M1.

Dia kemudiannya beralih ke Aprilia Racing dan telah pun membuat penampilan sulung di GP Aragon, hujung minggu lalu.

Dalam satu temubual di MotoGP.com, Lorenzo menyifatkan personaliti Vinales memainkan peranan besar terhadap apa yang berlaku pada karier pelumba itu.

“Walaupun mengejutkan tetapi ini bukan kali pertama dia membuat perubahan drastik terhadap kariernya.

“Ini adalah keputusan drastik kedua dan ketiga yang dilakukannya. Dia mempunyai personaliti berbeza,” kata Lorenzo.

Pada masa sama, Lorenzo menyifatkan ketibaan Quartararo sebagai gandingan baharu di Yamaha turut menghasilkan keputusan negatif bagi Vinales.

“Quartararo bingkas menyesuaikan diri dengan jentera dan mempamerkan kelajuan. Perkara itu mengganggu mentaliti Vinales apabila pelumba baharu mencatatkan masa lebih pantas lalu memberi kesan terhadap fokusnya.

“Pada pandangan saya itulah yang berlaku jadi Vinales mahukan persekitaran baharu dan cuba memberi motivasi pada dirinya sendiri,” tambah Lorenzo.

Kejadian di Red Bull Ring merupakan titik terakhir kesabaran pengendali Yamaha, Lin Jarvis terhadap Vinales yang kemudiannya membuat keputuan memecat pelumba itu beberapa minggu selepas itu.

Vinales kemudiannya diumumkan sebagai pelumba baharu Aprilia Racing dan akan menghabiskan baki musim ini bersama pasukan dari Noale itu dalam usaha mencapai keserasian dengan jentera RS-GP Aprilia. – MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]