Yamaha telah buat keputusan untuk menamatkan kontrak Maverick Vinale berkuatkuasa serta merta.
Keputusan bersama itu dicapai susulan penggantungan Vinales daripada GP Austria minggu lalu.
Sebelum ini, Vinales digantung ekoran tindakannya dengan sengaja merosakkan enjin jentera M1 ketika di lap akhir GP Styria di Red Bull Ring.
Vinales kemudiannya membuat permohonan maaf atas tindakannya yang disifatkan sebagai gagal mengawal emosi.
Pelumba Sepanyol itu sebelum ini disahkan akan meninggalkan Yamaha di hujung musim 2021 selepas kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kontrak setahun lebih awal.
Bagaimanapun, pengendali Yamaha, Lin Jarvis menyifatkan menamatkan perjanjian lebih awal adalah jalan terbaik bagi kedua belah pihak.
“Kami telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kerjasama lebih awal.
“Keputusan ini akan membenarkan dia (Vinales) untuk menetapkan masa depannya di samping memberi ruang kepada kami memfokuskan baki musim ini di samping mencari pengganti,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pelumba uji, Cal Crutchlow akan digandingkan bersama Fabio Quartararo di Silverstone minggu depan.
Sebelum ini, pelumba SRT, Franco Morbidelli dicanang akan diangkat ke Yamaha menggantikan Vinales.