KTM telah pun mengumumkan perpindahan Raul Fernandez ke kelas MotoGP bersama Tech3 musim depan, Sabtu lalu.
Pengumuman tersebut dibuat sewaktu sesi FP4 (Ujian Bebas) GP Styria sedang berlangsung.
Keputusan itu menyaksikan Fernandez bakal sertai rakan sepasukan KTM Ajo, Remy Gardner di Tech3 dibawah kendalian Herve Poncharal.
Bagaimanapun, senario itu mencetus kontroversi apabila KTM tidak memaklumkan terlebih dahulu pelumba Tech3 sedia ada, Danilo Petrucci dan Iker Lecuona bahawa kedua-duanya akan digantikan hujung musim ini.
Dalam perkembangan terbaru, Fernandez sendiri mendedahkan ketika temu bual bersama Dazn Spain bahawa dia tidak gembira dengan perpindahan tersebut apatah lagi baru semusim di kelas Moto2.
“Tidak,” merupakan jawapan balas Fernandez apabila ditanyakan adakah dia berada di tempat yang diinginkan bagi 2022.
Sebelum ini, Petronas Sepang Racing Team (SRT) merupakan antara pasukan yang berminat dengan khidmat pelumba berusia 20 tahun itu.
Menurut laporan GPOne, pengurus Fernandez, Hannes Kinigadner, sebelum ini pernah berjumpa dengan CEO KTM, Stefan Pierer dan Pengarah Sukan KTM, Pit Beirer dan meminta agar kontrak pelumba itu dibatalkan namun permintaannya tidak dilayan. – GPOne