MotoGP: Marco Bezzecchi Jadi Pilihan SRT Musim 2022?

Media antarabangsa mendakwa Marco Bezzecchi dikhabarkan akan berhijrah ke Petronas Sepang Racing Team (SRT) bagi musim 2022.

SRT ketiadaan dua pelumba musim depan tatkala Valentino Rossi telah pun mengumumkan persaraan sementara Franco Morbidelli disebut akan digandingkan bersama Fabio Quartararo di pasukan factory Yamaha.

Meskipun beberapa pelumba telah dikaitkan dengan SRT antaraya Raul Fernandez, Joe Roberts dan Marcel Schrotter sebelum ini namun Bezzecchi dicanang sebagai pilihan utama.

Pelumba VR46 di Moto2 itu sebelum ini telah pun menolak tawaran dari Aprilia dan kemudian didakwa bakal sertai Luca Marini di VR46 Ducati musim depan.

Bagaimanapun, Autosport melaporkan bahawa pelumba berusia 22 tahun itu telah pun mencapai persetujuan bersama SRT dan akan beraksi dengan jentera Yamaha musim depan.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada Bezzecchi akan mendapat jentera factory Rossi atau A-spec milik Morbidelli.

Ketika ini, SRT masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi bagi barisan pelumba yang akan meneruskan cabaran bagi musim 2022. – Autosport

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]