Yamaha dan Santander telah berkolaberasi untuk melancarkan sistem permohonan pinjaman atas talian, memudahkan proses membeli motosikal atau skuter baru dari pengedar Yamaha terdekat.
Dengan sistem ini, anda tidak perlu bangun dari sofa untuk membeli motosikal – adakah ini inovasi hebat atau sesuatu yang berbahaya? Itu terpulang kepada anda. Mungkin kedua-duanya juga.
Mengambil masa 20 minit dari awal ke akhir, kalkulator kewangan Santander Consumer Finance (SCF) memberi peminat Yamaha kebolehan mengadaptasikan sendiri sebut harga kewangan bulanan, membuat permohonan pinjaman dan dapatkan keputusan, semuanya dalam waktu sebenar.
Sistem ini diintegrasi ke dalam kalkulator kewangan yang sedia ada pada setiap laman motosikal dan skuter Yamaha; anda cuma perlu memasukkan deposit, tempoh pinjaman, jarak tempuh tahunan dan aksesori yang diingini jika ada. Jika sudah dapat kelulusan, anda boleh menandatangani persetujuan secara digital.
Pengedar Yamaha sudahpun melihat cara pinjaman baru ini, dan mengalu-alukan kemudahan baru ini kerana ia pasti akan mempercepatkan proses penjualan dan memastikan piawaian tinggi boleh dikekalkan dengan mudah.
Bercakap mengenai sistem permohonan pinjaman baru, Eric Seymour, Ketua Pembiayaan Motosikal untuk SCF berkata, “Ini adalah contoh terbaik kerja sama antara SCF dan Yamaha Motor menunjukkan komitmen bersama untuk terus mencari cara baru untuk meningkatkan keupayaan digital dan meningkatkan pengalaman pelanggan.
“Semenjak beberapa tahun lalu, kami telah berusaha keras untuk mengembangkan penyelesaian digital terkemuka di pasaran untuk memberikan fleksibiliti kepada rakan runcit untuk bertransaksi dengan pelanggan, dengan cara yang memenuhi keperluan pelanggan pada setiap tahap perjalanan pembelian mereka.”
Jika anda ingin melihat sendiri, klik di sini untuk melihat contoh, dan juga buat kira-kira sendiri untuk melihat tahap mana anda mampu membeli motosikal seterusnya. Berangan itu percuma.