Akibat kekurangan cip, BMW tidak dapat membina 10,000 kenderaan

Advertisements

BMW Group telah mendedahkan bahawa hampir semua kilangnya di Jerman kini terjejas akibat kekurangan semikonduktor berpanjangan, mengakibatkan syarikat itu tak dapat menyiapkan pembinaan 10,000 kereta.

Awal bulan ini, ahli lembaga pengeluaran Milan Nedeljkovic berkata kekurangan lanjut berkemungkinan berlaku, dan bekalan semikonduktor berada pada tahap kritikal.

“Pandangan untuk separuh kedua tahun ini juga masih kritikal. Jangkaan awal bahawa keadaan ini akan terkawal dalam masa terdekat kelihatan sukar,” katanya.

Walau dengan kekurangan ini, BMW Group tetap mencatat rekod penjualan dengan 1,339,080 kereta terjual di seluruh dunia dalam enam bulan pertama tahun ini.

Angka itu menunjukkan kenaikan 39.1% dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun 2020, dan kenaikan 7.1% berbanding tempoh pra-Covid, pada enam bulan pertama tahun 2019.

Semua jenama di bawah sayapnya juga melaporkan penjualan yang lebih tinggi.

Sementara itu, Jaguar Land Rover baru-baru ini berkata kekurangan cip yang berlaku kini sangat dinamik dan sukar dijangka.

Beliau menjangka situasi mencabar ini akan berterusan sehingga lewat 2022, dan penghantaran dalam suku kedua akan lebih teruk dari jangkaan awal.

Syarikat otomotif lain seperti Renault, Nissan, Hyundai dan Volkswagen juga memberi amaran tentang inventori akibat krisis bekalan ini yang bermula bulan Disember lepas apabila permintaan alat elektronik melambung di ketika pandemik memaksa kerajaan seluruh dunia menghadkan pergerakan.

Keadaan ini bertambah teruk dengan kebakaran kilang besar di Jepun, cuaca lebih sejuk dari biasa di Amerika Syarikat dan kemarau berpanjangan di Taiwan.

Setakat ini, penganalisa berpendapat kekurangan bekalan ini telah menyebabkan berjuta kenderaan dibatalkan pengeluarannya di seluruh dunia.

Firma perunding AlixPartners pada bulan Mei meramalkan bahawa krisis ini akan menelan kerugian penjualan industri sebanyak US$110 bilion (RM464.8 bilion), memaksa pengeluar kereta untuk merombak strategi mereka yang melibatkan komponen elektronik.

Advertisements