Zongshen-Aprilia Lancar GPR250R – 27.6HP, 21.5Nm

Zongshen-Aprilia telah pun melancarkan GPR250R di Xi’an Auto Expo, China, baru-baru ini.

Zongshen merupakan pengeluar motosikal di China yang bertanggungjawab memasarkan dan memasang jentera Aprilia di negara itu.

Bagi tahun 2021, GPR250R telah dikemaskini dengan rekaan baharu selaras dengan model Aprilia sedia ada.

GPR250R kini tampil dengan rekaan agresif di bahagian depan menerusi tiga lampu LED yang dipadankan bersama ‘winglet’ diinspirasikan daripada model RSV4 2020.

Seperti model sebelumnya, model ini juga didatangkan dengan enjin 250cc satu silinder dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 27.6hp pada 9,000rpm dan 21.5Nm pada 7,500rpm.

Namun, model baharu ini lengkap dengan klac slipper (slipper clutch) dan sistem EFI dari Bosch.

Meskipun skop kuasa ketinggalan di belakang pesaing lain antaranya Yamaha R25 dan Honda CBR250RR namun GPR250R ini lengkap dengan ciri moden dan terkini antaranya paparan TFT berwarna, penghadang angin aerodinamik, dan ergonomik lebih agresif.

Aprilia turut mendakwa GPR250R ini menawarkan pengalaman menunggang di litar yang terbaik.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • kerangka aluminium jenis ‘double-wing beam’
  • fork USD depan dengan monoshock di belakang
  • cakera brek 300mm depan dan 218mm belakang
  • ABS dwi-saluran (dual-channel)

GPR250R ini juga sesuai digunakan sebagai tunggangan harian dengan bantuan tangki 14L di samping mudah dikendalikan ekoran hanya seberat 158kg.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]