RASMI: Maverick Vinales Dan Yamaha Berpisah, Aprilia Destinasi 2022?

Kurang 24 jam setelah membantu Monster Energy Yamaha melengkapkan kemenangan satu-dua di Assen, Maverick Vinales membuat keputusan untuk berpisah dengan pasukan itu hujung musim ini.

Perkara itu diumumkan pihak Yamaha sendiri yang mendedahkan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menamatkan kontrak Vinales yang masih lagi berbaki setahun.

Vinales telah merekodkan lapan kemenangan sejak menyertai Monster Energy Yamaha pada 2017 dan tidak pernah gagal menamatkan setiap musim dalam kelompok enam teratas.

Hubungan Vinales bersama Yamaha mulai suram apabila pelumba Sepanyol itu tidak berpuas hati dengan tindakan pasukannya menggantikan ketua kru, Esteban Garcia dengan bekas ketua kru Valentino Rossi, Silvano Galbusera.

Dia kemudian meluahkan rasa tidak puas hati apabila tidak mendapat kerjasama yang diharapkan dari pihak Yamaha ekoran jentera YZR-M1 miliknya masih berdepan masalah sama berbanding rakan sepasukan, Fabio Quartararo.

“Kerjasama ini cukup penting buat sama dalam tempoh lima tahun ini. Keputusan untuk meninggalkan Yamaha bukan mudah.Kami telah mencapai pelbagai kejayaan bersama.

“Sebagai penghormatan terhadap tindakan Yamaha yang menghormati keputusan ini, saya tekad untuk berikan yang terbaik sehingga penghujung musim ini,” jelas Vinales.

Meskipun berjaya menaiki podium di Assen, Vinales akui dia tidak mencapai potensi yang sebenar setakat ini bersama Yamaha.

Dalam perkembangan sama, berita ini membuka peluang kepada Aprilia untuk memancing pelumba berusia 26 tahun itu untuk digandingkan bersama Aleix Espargaro musim depan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]