KBS Dengar Luahan Zulfahmi Khairuddin, Minta MSN Cari Lokasi Kuarantin Sekitar SIC

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meminta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mencari lokasi kuarantin berhampiran dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk atlet sukan permotoran negara yang akan pulang ke tanah air.

Baru-baru ini, Pengurus Pasukan SIC Talent ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, meluahkan rasa kecewa apabila atlet sukan permotoran terpaksa menjalani kuarantin wajib 14 hari di hotel sekaligus menganggu persiapan untuk pusingan akan datang.

Bagi Zulfahmi, kuarantin di hotel akan memberi kesan terhadap tahap kecergasan pelumba.

Mendengar luahan itu, Menteri KSB, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpendapat atlet sukan permotoran wajar diberikan kemudahan sama seperti atlet negara bakal yang sedang dalam persiapan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo.

“Saya akan bawa perkara ini berhubung isu atlet permotoran negara untuk menjalani latihan ketika tempoh kuarantin kepada MSN kerana kita faham jika berada di hotel, ia akan memberi kesan (kepada stamina mereka),” ujar Reezal Merican.

Tambahnya lagi, tempat khas berhampiran dengan SIC merupakan pilihan paling sesuai bagi atlet permotoran jalani kuarantin sebaik pulang ke tanah air sementara menanti pusingan perlumbaan seterusnya.

“Permintaan itu sesuatu yang wajar diberi perhatian dan diambil tindakan segera memandangkan sukan permotoran menjulang nama negara di persada antarabangsa kebelakangan ini, antaranya kemenangan Sharifuddin Azman dan Hafizh Syahrin Abdullah,” jelas Menteri KBS itu lagi. – BH

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply