Supermoto: Khairulamirin Alami Kemalangan Ngeri, Patah Tulang Pelvis Dan Pendarahan Dalaman

Pelumba supermoto negara, Khairulamirin Yahaya, telah mengalami kemalangan ngeri sewaktu ujian bebas bagi menghadapi Kejuaraan Supermoto Sepanyol di Albaida, Jumaat lalu (11 Jun).

Perkara itu disahkan pasukannya, Supermotoland Husqvarna Junior Talent Team.

Kemalangan tersebut menyebabkan Khairulamirin patah tulang pelvis dan mengalami pendarahan dalaman sekaligus menyaksikan dia bakal terlepas aksi untuk beberapa bulan dalam usaha untuk kembali pulih dari kecederaan.

Menurut laporan, pelumba 19 tahun itu hilang kawalan jentera dan mengalami ‘highside’ ketika sesi terakhir ujian sewaktu dalam kelajuan tinggi dalam usaha mengejar catatan lap yang lebih baik.

Pasukan perubatan bergegas memberi rawatan dan Khairulamirin terus dikejarkan ke hospital sebelum dia disahkan stabil selepas menjalani pembedahan kecemasan bagi menghentikan pendarahan dalaman.

Bagaimanapun, keadaan Khairulamirin masih dipantau rapat dan telah pun dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada Isnin.

Meskipum baru berhadapan kemalangan, Khairulamirin menyasarkan untuk kembali cergas bagi bersaing di pusingan akhir Kejuaraan Supermoto Eropah S4 yang dijadualkan pada Oktober.

Khairulamirin merupakan pelumba supermoto pertama negara yang berjaya melayakan diri ke Kejuaraan Supermoto Eropah S4. – Supermotoland

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]