MotoGP: Gresini Ikat Kontrak Dua Tahun Bersama Ducati

Selepas berbulan khabar angin, akhirnya Gresini Racing disahkan bakal meneruskan saingan di MotoGP musim depan bersama Ducati.

Kerjasama Gresini bersama Aprilia Racing berakhir hujung musim ini tatkala pengeluar dari Noale, Itali itu akan bergerak sebagai pasukan factory musim 2022.

Ini bermakna, Gresini akan kembali sebagai pasukan Independent MotoGP musim depan dengan sokongan Ducati sebagai pengeluar di samping bakal mempertaruhkan Fabio Di Giannantonio dan Enea Bastianini.

Bastianini yang ketika ini bersama Avintia Ducati, bakal meneruskan kerjasama dengan pengeluar motosikal Itali itu di Gresini manakala rakan sepasukan, Luca Marini, dijangka sertai Aramco VR46 yang akan mengambil slot Avintia, musim depan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ducati Corse, Gigi Dall’Igna, teruja dengan perjanjian terbaru itu.

“Kami gembira berjaya mencapai persetujuan bersama Gresini Racing untuk dua musim di MotoGP.

“Kami telah pun mencapai kesepakatan bersama mendiang Fausto (Gresini) hujung tahun lalu jadi kami amat berbesar hati kerana keluarganya berminat meneruskan projek ini.

“Kami amat yakin dengan kerjasama kali ini di samping bergantung kepada dua pelumba muda seperti Enea dan Fabio,” jelasnya. – MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]