MotoGP: Remy Gardner Sertai Tech 3 KTM Di Kelas Premier Musim 2022

Pelumba Red Bull KTM Ajo Moto2, Remy Gardner, bakal beraksi di kelas premier bersama Tech 3 KTM musim 2022.

Perkara itu disahkan KTM yang mendedahkan pelumba Australia itu akan bersaing di MotoGP, 30 tahun selepas ayahnya, Wayne Gardner bersara pada 1992.

Pengumuman itu menyaksikan Gardner menjadi pelumba pertama yang mengesahkan tempat di Tech 3 KTM dan bakal menggantikan antara Danilo Petrucci dan Iker Lecuona musim depan.

Bekas pelumba Onexox TKKR SAG Team itu turut meluahkan rasa gembira atas peluang yang diberikan.

“Saya gembira kerana KTM memberikan peluang ini. Ini adalah impian saya selama ini.

“Saya tak sabar untuk menunggang jentera MotoGP. Saya mahu berterima kasih kepada KTM atas kepercayaan ini.

“Fokus utama ketika ini adalah menamatkan musim 2021 dengan keputusan yang baik,” jelas Gardner.

Sementara itu, senario ini menyaksikan Australia akan mempunyai dua wakil pelumba di saingan MotoGP musim depan (Remy Gardner dan Jack Miller) buat pertama kalinya sejak Casey Stoner dan Chris Vermeulen pada 2009.

Gardner ketika ini mendahului kejuaraan Moto2 dengan kelebihan 6 mata di hadapan rakan sepasukan, Raul Fernandez yang mengutip 108 mata setakat ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.