Moto3: Jason Dupasquier Meninggal Dunia Di Usia 19 Tahun

Pelumba Moto3, Jason Dupasquier, disahkan meninggal dunia susulan mengalami kecederaan serius ketika sesi kelayakan.

Pemergian pelumba berusia 19 tahun dari Switzerland itu diumumkan sebaik aksi Moto3 di Mugello berakhir, semalam.

Dupasquier – yang memasuki musim keduanya di Moto3 – mengalami kemalangan sewaktu di Turn 9 dengan Ayumu Sasaki dan Jeremy Alcoba turut terbabit.

Selepas rawatan oleh doktor sejurus selepas kejadian, Dupasquier telah digegaskan ke hospital menggunakan helikopter.

Bagaimanapun, doktor mengesahkan pelumba itu mengalami kecederaan parah.

“Susulan insiden kemalangan sewaktu sesi kelayakan Moto3 di GP Itali, dengan dukacita kami mengumumkan pemergian pelumba Moto3, Jason Dupasquier.

“Dupasquier terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa pelumba lain di Turn 9 dan 10. Kenderaan perubatan FIM telah tiba di tapak kejadian dan melakukan rawatan sebelum Dupasquier digegaskan ke hospital Careggi di Florence menggunakan helikopter.

“Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan Dupasquier telah meninggal dunia ekoran cedera parah,” jelas pihak MotoGP dalam satu kenyataan selepas berakhir perlumbaan Moto3 pada Ahad.

Sementara itu, semua pelumba MotoGP bertafakur selama seminit sebelum perlumbaan bermula sebagai tanda penghormatan terhadap pemergian Dupasquier.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]