MotoGP: Pelumba Kritik Keputusan Teruskan Perlumbaan Susulan Kematian Dupasquier

Aksi MotoGP di Litar Mugello telah dibayangi dengan berita kematian pelumba Moto3, Jason Dupasquier.

Pelumba berusia 19 tahun itu disahkan meninggal dunia semalam susulan mengalami kecederaan serius ekoran kemalangan ketika sesi kelayakan pada Sabtu.

Bagaimanapun, saingan Moto2 dan MotoGP tetap dijalankan yang menyaksikan Fabio Quartararo merekodkan kemenangan ketiga musim ini.

Namun, terdapat beberapa pelumba antaranya Francesco Bagnaia yang menyuarakan kritikan kerana membenarkan perlumbaan diteruskan.

“Kita tidak sepatutnya berlumba hari ini.

“Selepas berita kematian Dupasquier diumumkan, saya memberitahu pasukan saya keengganan untuk berlumba hari ini (semalam).

“Walaupun saya cuba mengekalkan fokus namun aamat sukar. Bagi saya, kita tidak sepatutnya berlumba hari ini.

“Jika perkara sama menimpa seorang pelumba MotoGP, sudah tentu perlumbaan ini akan dibatalkan.

“Saya tidak berpuas hati kerana seseorang memutuskan kami perlu meneruskan perlumbaan hari ini selepas berita menyedihkan diumumkan,” jelas Bagnaia.

Nada sama turut disuarakan Danilo Petrucci dan Aleix Espargaro.

“Sukar untuk keluar berlumba hari ini. Saya rasa jijik memikirkan kami perlu keluar berlumba ketika seorang pelumba berusia 19 tahun telah meninggal dunia.

“Bagi saya perkara ini tidak normal,” kata Petrucci.

“Dia hanya berusia 19 tahun. Dia masih seorang kanak-kanak.

“Hari ini (semalam), dalam tempoh 10 minit, dari memberikan penghormatan kami terus menarik visor turun untuk meneruskan perlumbaan.

“Sukan permotoran ini kadang kala kejam, saya berasa cukup sedih,” ujar Petrucci.

Sementara itu, pelumba veteran dan tujuh kali juara dunia MotoGP, Valentino Rossi, turut berkongsi pendapatnya mengenai tragedi menimpa Dupasquier.

“Pertama sekali, saya mengucapkan takziah kepada keluarga, pasukan dan rakan kepada Dupasquier.

“Selepas berita pemergiannya, kita mula tertanya-tanya sama ada wajarkah meneruskan perlumbaan.

“Bagi saya meneruskan perlumbaan ini tidak masuk akal tetapi sama juga jika sebaliknya berlaku kerana tiada apa yang kita lakukan hari ini dapat mengubah apa yang telah berlaku.

“Kejadian seumpamanya membuatkan kita mula mempersoalkan sebab mengapa kita berlumba,” jelas Rossi.

Namun, bagi Rossi tiada unsur diskriminasi yang berlaku dalam keputusan meneruskan perlumbaan di Mugello.

“Pada 2011 sewaktu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kami tidak berlumba kerana (Marco) Simoncelli ditimpa kemalangan sewaktu perlumbaan.

“Tetapi ketika tragedi menimpa Luis Salom (sesi ujian) di Barcelona dan Shoya Tomizawa (perlumbaan) di Misano, perlumbaan tetap berjalan.

“Namun, secara peribadi, saya setuju jika perlumbaan hari ini tidak diteruskan,” tambah Rossi.

Saingan MotoGP pada Ahad menyaksikan Fabio Quartararo muncul juara diikuti Miguel Oliveira dan Joan Mir.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.