MotoGP: Morbidelli Akui Tidak Adil Terpaksa Beraksi Dengan Jentera Lama

Pelumba utama Petronas Yamaha Sepang Racing Team (PSRT), Frano Morbidelli, mengakui adalah tidak adil baginya mengharungi musim 2021 dengan jentera lama.

Morbidelli muncul pelumba terbaik Yamaha tahun lalu apabila menamatkan saingan MotoGP 2020 di tempat kedua, hanya dipisahkan 13 mata di belakang juara, Joan Mir.

Bagaimanapun, memasuki tahun baru, dia muncul pelumba tunggal Yamaha yang masih kempunan jentera ‘factory-spec’.

Tanpa sebarang pilihan, Morbidelli terpaksa meneruskan kepercayaan terhadap jentera ‘A-spec’ YZR-M1 2019 sedia ada.

Walaupun Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis, menjelaskan kekangan kewangan dan pandemik Covid-19 antara punca Morbidelli tidak diberikan jentera ‘factory-spec’, pelumba berusia 26 tahun itu akur ketidakadilan telah berlaku.

“Ketidakadilan memang berlaku dalam sukan. Kami terikat dengan kontrak yang telah disediakan lebih awal.

“Walaupun ini adalah hakikat, tetapi saya terpaksa juga meneruskan (perlumbaan) dengan apa yang diberikan,” jelas Morbidelli.

Morbidelli, yang memasuki tahun ketiga bersama PSRT, berjaya menempah barisan pertama musim ini di GP Sepanyol apabila merekodkan masa kedua terpantas, di belakang Fabio Quartararo.

“Saya gembira kerana dapat berada dalam barisan depan. Saya sudah menunggang jentera (2019) ini untuk tempoh lama, tetapi dari aspek teknikal, perkara ini bukanlah satu kelebihan.

“Sebaliknya, saya sudah memahami jentera ini dari segala segi,” tambahnya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]