NOS Honda RC213V-S Ini Untuk Dijual – RM1.25 Juta

Pada Februari lalu, seorang pengumpul motosikal di United Kingdom telah meletakkan beberapa motosikal klasik dan ikonik untuk dijual.

Menariknya, kesemua motosikal tersebut yang merangkumi sebuah Kawasaki ZX7-RR 1996, Yamaha YZF-R7 OW-02 1999 dan Ducati 1299 Superleggera menawarkan perbatuan kosong.

Dalam erti kata lain, semua motosikal tersebut berada dalam keadaan NOS (new old stock).

Kali ini, penjual sama itu menawarkan sebuah motosikal pada harga GBP219,995 (RM1.25 juta) sekaligus menjadikan jentera itu sebagai paling mahal dalam koleksinya.

Motosikal untuk dijual itu adalah sebuah Honda RC213V-S, jentera edisi terhad yang dihasilkan Honda pada 2015, sebagai jentera replika kepada mesin MotoGP, RC213V.

Selain dihasilkan sebagai jentera replika MotoGP, RC213V-S ini adalah 100 peratus buatan tangan dengan hanya 250 unit dihasilkan di kilang Kumamoto.

Terdapat beberapa ciri yang telah dipinjamkan secara terus dari jentera MotoGP antarnaya, swingarm, klac slipper, rim aloi magnesium Marchesini, fork Ohlins, footpeg dan pedal boleh laras serta brek Brembo.

Motosikal untuk dijual ini adalah unit bernombor 007 sekaligus menjadikan model ini lebih berharga.

Terdapat beberapa ciri yang ditambah bagi menjadikan jentera ini ‘road-legal’ antaranya lampu depan dan belakang, cermin sisi, hon dan pemegang nombor plat.

Menariknya, jentera 1000cc ini menawarkan 157hp tetapi dengan kit HRC Sport, kuasa enjin akan dinaikan kepada 212hp.

Bagi yang bercadang untuk memiliki sebuah jentera unik dan sukar didapati, Honda RC213V-S ini ternyata permata yang paling mencapai standard itu.