“Tahun depan, berkemungkinan besar saya akan mendapat jentera ‘factory’,” demikian pendedahan dibuat Franco Morbidelli selepas merekodkan tempat kedua dalam sesi kelayakan di GP Sepanyol meskipun menunggang jentera 2019.
Tahun lalu, Morbidelli telah pun menandatangani kontrak eksklusif dua tahun bersama Petronas Sepang Racing Team (PSRT) dan merupakan pelumba YZR-M1 tunggal yang tidak mengikat kontrak secara langsung bersama Yamaha.
Bagaimanapun, tiada pengesahan sama ada situasi tersebut menyumbang kepada Morbidelli tidak mendapat jentera ‘factory’ musim ini dengan pengarah urusan Yamaha, Lin Jarvis, mendakwa kekangan kewangan sebagai punca.
Kemudian, PSRT masih belum menandatangani kontrak lanjutan bersama Yamaha untuk meneruskan kerjasama bagi musim 2022 dengan terdapat ura-ura bahawa kolaborasi itu akan berpindah ke ARAMCO Racing Team VR46.
Sekiranya Yamaha memilih VR46 sebagai pasukan satelit musim depan, senario itu mungkin membolehkan Morbidelli berhijrah dan mendapat layanan ‘factory’ yang diidamkannya.
Morbidelli sebelum itu akui mendapat layanan tidak adil apabila muncul pelumba tunggal Yamaha yang beraksi musim ini dengan jentera YZR-M1 2019 berbanding Fabio Quartararo, Maverick Vinales dan rakan sepasukan Valentino Rossi yang menerima jentera ‘factory-spec’ terkini.