Pulang Ke Malaysia, Hafizh Berang Perlu Jalani Kuarantin 7-Hari

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, meluahkan rasa tidak puas hati apabila terpaksa menjalani kuarantin 7-hari sebaik pulang ke Malaysia.

Hafizh pulang ke tanah air selepas berakhirnya kejuaraan dunia MotoGP pusingan ketiga di Portugal minggu lalu.

Dia terpaksa jalani kuarantin wajib meskipun telah menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Bagi Hafizh, atlet negara yang pulang ke tanah air dan telah pun menjalani ‘swab test’ dan mengambil suntikan vaksin seharusnya dibenarkan pulang ke rumah.

“Seronok tengok atlet Eropah yang balik dari me­nyertai perlumbaan terus menjalani latihan. Tiada kuarantin sebab mereka telah menjalani ujian dan negatif sebelum tiba ke rumah.

“Sebab itu kebanyakan atlet Eropah lebih berjaya daripada kita kerana negara mereka faham tentang atlet. Kita tidak minta pun dilayan seperti orang atasan ataupun raja, tetapi biarlah ada kelonggaran buat atlet jalani latihan atau kuarantin di rumah.

“Tujuan kita balik bukan untuk seronok-seronok seperti orang biasa tetapi atas sebab-sebab tertentu. Kos di Eropah sangat tinggi, bila atlet tidak pamerkan aksi terbaik kita juga kena kritik,” demikian antara luahan Hafizh di media sosial Instagram miliknya.

Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, kuarantin wajib di hotel menyukarkan persiapan bagi menghadapi pusingan seterusya Moto2 di Jerez, Sepanyol.

“Campak atlet ke hotel kua­rantin lepas itu ada perlumbaan minggu depan, apa yang atlet boleh buat dalam hotel seminggu? Tidur makan sahaja, nak tingkatkan prestasi jauh lagi jawabnya. Kalau di rumah ada segala peralatan untuk jalani latihan,” tambahnya.

Saingan MotoGP akan kembali bersambung bermula dengan ujian bebas pada 30 April di Litar Jererz.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.