Yamaha NMAX Kekal Sebagai Skuter Rasmi MotoGP

Yamaha dan Dorna meneruskan kerjasama sebagai pembekal skuter rasmi petugas di kejuaraan dunia MotoGP.

Pengeluar motosikal Jepun itu akan terus membekalkan skuter jenis Yamaha NMAX 125 terbaru di paddock MotoGP untuk beberapa tahun akand datang.

Dorna telah pun memberi kepercayaan kepada Yamaha sebagai pembekal skuter bagi semua pasukan di MotoGP sejak tahun 2005.

“Yamaha telah menjadi pembekal rasmi skuter kepada Dorna Sports dan Kejuaraan Dunia MotoGP sejak 2005 dan kami berbangga kerjasama ini akan berterusan.

“Kami akan membekal beberapa unit NMAX 125 yang menawarkan ketangkasan, kelincahan dan kestabilan di samping ruang letak barang yang luas. NMAX 125 ini merupakan skuter terlaris di Eropah dan Asia maka cukup sesuai bagi memenuhi permintaan di paddock MotoGP,” jelas Pengarah Pemasaran Dan Permotoran Yamaha Motor Europe, Paolo Pavesio.

Perjanjian tersebut turut menyaksikan petugas MotoGP turut menerima skuter NMAX 125 bagi memudahkan pergerakan di samping menjaminkan tahap keselamatan terbaik.

Menurut laporan, Dorna telah pun menerima 25 unit Yamaha NMAX 125 ketika di GP Portugal baru-baru ini.

Pada masa sama, Pengarah Urusan Dorna Sports, Pau Serracanta, turut berkongsi keterujaan sama mengenai kerjasama ini.

“Kami sangat gembira kerana dapat meneruskan kerjasama dengan Yamaha sebagai pembekal skuter di MotoGP.

“Yamaha membekalkan skuter yang cukup berkualiti dan mudah dikendalikan oleh kakitangan Dorna sekitar paddock MotoGP,” jelasnya.

Yamaha NMAX merupakan antara skuter terlaris di Malaysia namun hanya didapati dengan varian 155cc.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.