GP Portugal: Marc Marquez Penuh Emosi Kembali Berlumba Selepas 265 Hari

Marc Marquez berjaya mengutip mata pertamanya selepas hampir setahun tidak berlumba ekoran kecederaan.

Enam kali juara dunia MotoGP itu muncul pelumba Honda terpantas di GP Portugal apabila melepasi garisan penamat di kedudukan ketujuh selepas 25 lap dengan Fabio Quartararo muncul pemenang, diikuti Francesco Bagnaia kedua dan Joan Mir, ketiga.

Bagaimanapun, sebaik kembali ke paddock, Marquez seakan dilanda pelbagai emosi.

Pada hari biasa, kedudukan ketujuh mungkin akan mencetuskan pelbagai persoalan terhadap persembahan pelumba Sepanyol itu.

Namun, setelah berehat 265 hari, keputusan di Litar Autódromo Internacional do Algarve ternyata membawa seribu satu makna terhadap pelumba berusia 28 tahun itu.

“Saya bukan jenis mempamerkan emosi tetapi sebaik tiba di paddock dan melihat semua mekanik, saya tidak dapat menahan perasaan.

“Saya menanti sekian lama agar hari ini tiba, untuk menamatkan perlumbaan MotoGP. Ini adalah langkah terbesar dalam proses pemulihan saya.

“Merasai kembali perasaan sebagai pelumba MotoGP adalah impian saya dan saya berjaya melakukannya hari ini,” jelas Marquez.

Marquez berjaya menempatkan dirinya di kedudukan ketiga sebaik perlumbaan dilepaskan namun mula ketinggalan ekoran tidak mampu menangani tekanan.

“Lap pertama sangat sukar kerana saya berada di tempat yang tidak sepatutnya. Seperti berada di sekolah apabila bermain bola dengan pelajar lebih senior!” ujar Marquez.

Pelumba Repsol Honda itu akan kembali beraksi di pusingan empat MotoGP di Jerez pada hujug bulan ini, litar sama yang menjadi saksi kemalangan ngeri yang menimpa Marquez, tahun lalu.