MotoGP: Saya Kecewa Dengan Rossi – Jorge Lorenzo

Tiga kali juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo, menyifatkan aksi Valentino Rossi sewaktu di GP Doha sebagai mengecewakan.

Setelah mencatat masa keempat terpantas di sesi kelayakan pada aksi pembukaan GP Qatar, Rossi bergelut dalam minggu seterusnya apabila sekadar mengisi petak ke-21 di GP Doha.

Valentino Rossi, MotoGP race, Qatar MotoGP 28 March 202

Senario itu merupakan keputusan kelayakan terburuk dalam karier 25 tahun di MotoGP pelumba veteran itu.

Pelumba berusia 42 tahun itu yang kini bersama Petronas Sepang Racing Team (SRT) turut gagal mengutip sebarang mata apabila sekadar menamatkan aksi di kedudukan ke-16.

Menerusi saluran YouTube Jorge Lorenzo Official, Lorenzo – yang menghabiskan tujuh tahun bersama Rossi – berkongsi luahannya mengenai bekas rakan sepasukannya itu.

“Rossi mengecewakan saya, sepertimana dia juga telah mengecewakan peminatnya.

“Meraih petak ke-21 adalah keputusan terburuk dalam kariernya.

“Kemudian sewaktu perlumbaan, dia gagal mengutip mata. Ini adalah kali kedua dia tertinggal jauh dibelakang pelumba Yamaha lain.

“Tetapi dia sering bergelut di Qatar jadi akan ada litar yang lebih baik untuknya.

“Saya juga kurang pasti sama ada dia mampu buat lebih baik di Portimao tetapi apa yang pasti, dia akan kembali lebih kuat di Jerez nanti,” jelas Lorenzo menerusi siri #99Seconds.