Benelli 302R 2021 Didedahkan – Kini 22kg Lebih Ringan!

Dalam usaha untuk memberi saingan terhadap segmen motosikal 250-300cc, jenama motosikal Itali-China, Benelli, dengan rasminya mendedahkan 302R 2021.

Benelli 302R bukanlah model popular jika dibandingkan dengan jenama Jepun lain namun berdasarkan model baharu yang telah dinaik taraf dari pelbagai aspek, model ini dijangka mamu memberi saingan lebih kompetitif.

Bagi 2021, Benelli 302R tampil dengan rekaan lampu projektor melintang yang diapit dengan lampu LED DRL (Daytime Running Light) di kiri dan kanan sekaligus menghadirkan imej lebih moden.

Benelli turut mengaplikasikan corong udara disekeliling panel lampu depan dan di tempat duduk pillion yang bukan sahaja mendatangkan rupa agresif malah meningkatkan downforce.

Namun, ketika bahagian depan dan belakang telah direka semula, panel sisi dan tangki 14L yang terdapat pada model sebelumnya telah dibawa ke model baharu ini.

Pada masa sama, Benelli turut mengekalkan penggunaan fork USD 41mm namun kali ini boleh diselaraskan (preload).

Sementara itu, enjin 300cc parallel-twin yang terdapat pada Benelli 302R ini turut dinaik taraf bagi mencapai standard Euro 5 namun kini menawarkan 35hp pada 11,000rpm dan 27Nm pada 9,000rpm berbanding 38hp dan 26.5Nm pada model sebelumnya.

Bagaimanapun, bagi mengimbangi penurunan kuasa, Benelli 302R baharu ini adalah 22 kilogram lebih ringan berbanding model sebelumnya.

Bagi menampilkan konsep lebih moden, model 2021 ini turut didatangkan dengan skrin TFT berwarna setaraf dengan motosikal lain dalam segmennya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]