Yamaha Y16ZR Tak Termasuk Dalam Pengecualian Duti Eksais, Y15ZR Akan Terus Dijual

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah pun melancarkan Y16ZR VVA 2021 untuk pasaran tempatan, semalam.

Motosikal ini digerakkan dengan enjin 155cc SOHC sama yang memacu R15 dan MT-15 yang menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm pada 8,000rpm yang dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan (dengan bantuan klac assist/slipper).

Ekoran dikuasakan dengan enjin 155cc, faktor itu sekaligus menjadikan Yamaha Y16ZR tidak termasuk dalam pengecualian duti eksais 100 peratus bagi motosikal pemasangan tempatan (CKD) 150cc ke bawah seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Perkara itu turut disahkan oleh pihak HLYM.

Bagaimanapun, pengecualian tersebut akan membabitkan model Y15ZR yang dimaklumkan akan terus dijual meskipun Y16ZR telah pun diperkenalkan.

Orang ramai boleh memilih model popular Y15ZR yang ditawarkan pada harga sekitar RM8,168 (*sebelum pengecualian duti eksais/cukai jalan dan insurans) atau Y16ZR serba baharu yang boleh didapati pada harga RM10,888.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.