Baru-baru ini timbul khabar angin mengatakan Yamaha Motor Co. Ltd bakal bangunkan sebuah motosikal baharu dengan nama YZF-R7.
Dalam perkembangan terkini, Yamaha disahkan bakal memperkenalkan motosikal tersebut menerusi dokumen CARB yang telah difailkan di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, motosikal tersebut bukanlah meneruskan sejarah R7 dengan enjin 750cc 4-silinder yang pernah gah satu ketika dulu.
Sebaliknya, dokumen tersebut merujuk bahawa R7 itu akan mengguna pakai enjin 689cc parallel-twin yang terdapat pada MT-07 dan Tenere 700.
Ini bermakna, model baharu ini adalah MT-07 versi fairing penuh.
Menurut laporan, Yamaha R7 akan tampil dengan pilihan warna Yamaha blue dan hitam namun info lebih terperinci masih kekal jadi tanda tanya.
Apa yang pasti, R7 ini sedikit sebanyak menghadirkan berita gembira buat peminat motosikal yang berduka cita dengan keputusan Yamaha untuk menghentikan pengeluaran YZF-R6 kecuali untuk kegunaan di litar susulan penguatkuasaan Euro 5.
Namun, berbanding R6 yang lebih berkuasa dengan kuasa kuda berada pada 117hp, enjin parallel-twin pada MT-07 hanya menawarkan 72.4hp pada 9,000rpm.
Yamaha R7 ini dijangka akan diperkenalkan sebagai model 2022. – Motorcycle.com