10 Remaja Mandi Peluh Tukar Balik Ke Ekzos Standard

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah menahan 12 motosikal dalam Ops Ubah Suai Ekzos yang dijalankan sekitar daerah Kuala Selangor, Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, daripada jumlah tersebut, 10 motosikal didapati gagal ujian paras bunyi ekzos yang dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Sumber foto: Info Roadblock JPJ/Polis

Kesemua 10 penunggang motosikal berusia 18 hingga 25 tahun termasuk seorang perempuan telah dikenakan saman minimum RM300 atas kesalahan ubah suai ekzos dibawah Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan & Penggunaan) 1958 (L/N 170/1959).

Mereka turut dikenakan kompaun RM300 oleh JAS kerana tidak mematuhi had bunyi dibenarkan.

Kesemua remaja itu kemudiannya diminta membawa ekzos ‘standard’ untuk proses penukaran secara ‘layan diri’ di perkarangan IPD Kuala Selangor yang memakan masa lebih empat jam. – KOSMO