Razlan Tolak Pendapat “Duduk Di Belakang Pun Tak Apa” Asalkan Pelumba Tempatan

Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali sedar peminat sukan permotoran tempatan mahu pasukan itu diwakili oleh pelumba negara.

Rata-rata berasakan Petronas SRT yang sentiasa menguar-uarkan usaha membangunkan bakat tempatan seharusnya mempunyai wakil negara di MotoGP.

Bagaimanapun, menurut Razlan pembangunan bakat muda perlukan masa dan kesabaran.

“Kami sentiasa membangunkan pelumba muda negara tetapi perkara itu mengambil masa.

“Tetapi kami enggan mengambil pelumba tempatan semata-mata hanya sebab perlunya ada wakil negara seperti desakan sesetengah peminat.

“Saya tahu ada yang tak kisah dengan pencapaian pelumba tempatan sehingga ada yang komen “duduk di belakang pun tak apa”.

“Kami tak mahukan senario sebegitu,” katanya sewaktu temu bual secara strim video semalam.

Bagi Razlan, adalah penting bakat muda negara sudah bersedia untuk beraksi penuh kompetitif.

“Kami mahu pastikan mereka kompetitif dan mampu mencapai sasaran kerana terdapat banyak data yang boleh dibandingkan dengan pelumba Eropah lain ketika mereka bertanding di CEV, sehinggalah ke Moto3 dan Moto2.

“Dengan cara ini, pelumba tempatan boleh kenal pasti apakah langkah seterusnya apabila mereka dinaikkan ke Moto3 dan Moto2.

“Tetapi jika kita tangkap muat sahaja tindakan ini boleh merosakkan karier pelumba dan merencatkan pembangunan bakat muda negara.

“Sebab itu kami mahukan pelumba tempatan yang kompetitif dan untuk mencapai perkara itu perlukan masa dan kesabaran,” tambah Razlan.

*Adam Norrodin

Pada masa sama, Razlan turut menjangkakan dua pelumba muda, Adam Norrodin serta Syarifuddin Azman akan diangkat ke Moto2 dan Moto3 musim depan.

*Syarifuddin Azman

“Insya’allah, tahun depan (2022), bergantung kepada pencapaian mereka musim ini di FIM CEV, ada tempat untuk mereka di Moto2 dan Moto3,” jelasnya.

Adam menamatkan musim 2020 di tempat ketujuh keseluruhan bersama pasukan LIQUI MOLY Intact SIC Junior Team di Moto2 FIM CEV.

Isu pelumba tempatan menjadi hangat sebaik berakhirnya musim 2020 apabila Petronas SRT membuat keputusan melepaskan Khairul Idham Pawi atas faktor prestasi.