Yamaha telah pun menandatangani kontrak lanjutan baharu yang menyaksikan pasukan factory itu akan kekal di MotoGP hingga 2026.
Tatkala status Yamaha di MotoGP telah pun disahkan, perkara sama tidak boleh diperkatakan mengenai pasukan satelit, Petronas Yamaha Sepang Racing Team.
Ini kerana kontrak Petronas-Yamaha akan berakhir hujung musim ini.
“Kerjasama tiga tahun bersama Petronas akan luput pada hujung tahun ini.
“Jadi tahun ini adalah tempoh kami berbincang semula dengan pasukan satelit.
“Mengikut situasi semasa, Petronas Yamaha SRT telah melakar pencapaian terbaik. Tahun lalu, mereka menang enam perlumbaan dan pelumba mereka (Franco Morbidelli) menamatkan aksi di tempat kedua kejuaraan dunia.
“Jadi kemampuan mereka tidak boleh dipersoalkan,” jelas Pengarah Urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis.
Meskipun meneruskan kerjasama adalah satu pilihan paling jelas bagi kedua-dua pihak namun Jarvis, melihat VR46 juga antara calon sekiranya pasukan itu merancang beraksi di kelas premier pada 2022.
“Adakah VR46 akan sertai MotoGP? Menurut fahaman saya, mereka serius pertimbangkan perkara itu.
“Jadi kami akan berbincang dengan calon yang ada termasuk Petronas SRT dan VR46.
“Perbincangan akan bermula pada April atau Mei ini,” tambah Jarvis.