Ducati Panigale V4S Hanya Dua Saat Di Belakang Jentera MotoGP Di Jerez!

Baru-baru ini, pasukan Ducati MotoGP berjaya mengumpulkan keenam-enam pelumba bagi musim 2021 untuk menjalani sesi ujian di litar Jerez.

Jack Miller, Pecco Bagnaia, Johann Zarco, Jorge Martin, Luca Marini dan Enea Bastianini berpeluang menguji jentera Ducati GP21 serta beberapa unit Panigale V4S.

Apa yang mengejutkan Panigale V4S itu merekodkan masa terpantas 1 minit 43.3 saat, hanya 2.2 saat dibelakang GP21 yang mencatat masa terbaik dengan 1′ 41.1s.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, kedua-dua jentera ini menggunakan tayar Michelin jenis slick sewaktu sesi ujian.

Ducati Panigale V4S adalah jentera yang dibangunkan untuk jalan raya namun dengan DNA Ducati MotoGP.

Bagnaia sendiri berasakan terdapat persamaan di antara Panigale V4S itu dengan jentera MotoGP.

Antara teknologi dari MotoGP yang diperkenalkan pada V4S itu adalah, counter-rotating crankshaft, quickshifter dan kerangka ringan.

Enjin 1,103cc itu menawarkan 211hp pada 13,000rpm dan 124Nm pada 10,000rpm.