MotoGP: Bradley Smith Angkat Kaki Dari Aprilia?

Pelumba uji Aprila MotoGP, Bradley Smith, didakwa telah meninggalkan pasukan itu berdasarkan perkongsian terbaru di akaun media sosial Instagram miliknya.

Dalam perkongsian terbaru itu, dia memuat naik gambar jentera Yamaha dengan kapsyen “Project #109 is complete” serta “No looking back.”

Smith sertai Aprilia selaku pelumba uji dan wild-card pada penghujung 2018 selepas enam musim bersama Tech3 Yamaha dan KTM sebelum itu.

Dia kemudiannya ambil alih kerusi pelumba bagi musim 2020 selepas Andrea Iannone digantung perlumbaan.

Bagaimanapun, Aprilia membuat keputusan untuk menggantikan Smith dengan Lorenzo Savadori bagi baki tiga pusingan terakhir.

Aprilia kemudiannya mengumumkan perancangan untuk menyerahkan slot Iannone – yang digantung empat tahun oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) – kepada Smith atau Savadori bagi musim 2021.

Meskipun Aprilia masih belum membuat pengumuman rasmi namun timbul dakwaan bahawa pasukan dari Noale, Itali itu telah pun membuat keputusan untuk menggunakan khidmat Savadori.

Perkongsian terbaru Smith di laman sosial Instagram seakan mengesahkan perkara itu apatah lagi memuat naik gambar jentera lain.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]