Prinsipal PETRONAS Sepang Racing Team (SRT) dan Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali menafikan dakwaan pihaknya mengabaikan kebajikan Khairul Idham Pawi @ KIP.
Razlan menempelak kenyataan Pawi Omar menerusi satu blog tempatan yang mendakwa dia tidak menjaga kebajikan pelumba berusia 22 tahun itu sejak 2018.
“Kadangkala keputusan yang kita buat kurang popular dan bukan boleh buat semua orang gembira terutamanya pihak KIP dan keluarganya.
“Tapi bagi kita Moto3 ini merupakan kejuaraan dunia dan bukannya kejuaraan kebangsaan dan aksi (konsisten) adalah keutamaan,” jelasnya.
Kontrak KIP bersama PETRONAS Sprinta Racing tidak disambung bagi musim 2021 yang turut menyaksikan tempatnya diisi pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder.
KIP kemudiannya membuat kejutan dengan mengumumkan persaraan namun Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) mahu pelumba itu terus diberikan peluang di sukan permotoran. – BERNAMA