Ducati Superleggera V4 Kini Di Malaysia – RM888,000!

Ducati Malaysia telah melancarkan Superleggera V4 untuk pasaran tempatan yang hanya terhad kepada 500 unit seluruh dunia.

Pelancaran ini juga menyaksikan Ducati Malaysia menyerahkan unit Superleggera V4 tersebut kepada pelanggan tunggal di Malaysia, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

*Datuk Nazir Hussin pemilik tunggal Superleggera V4 2020 di Malaysia

Panigale V4 Superleggera ini didatangkan dengan pelbagai teknologi terkini dan luar biasa meskipun tampak seakan-akan Panigale V4R.

Ini kerana, Superleggera ini merupakan V4R yang telah diselubungi gentian karbon – sekaligus menjadikan jentera ini 16 kilogram lebih ringan pada 152.4 kilogram.

Perkara pertama yang paling menonjol adalah kehadiran biplane winglet sementara bahagian fairing diinspirasikan dari livery Desmosedici GP-19.

Superleggera ini juga merupakan Panigale paling berkuasa dengan 224hp dan 112Nm namun boleh dianjakkan ke 234hp menerusi kit prestasi.

Fork depan dikendalikan Öhlins NPX 25/30 40mm dan penyerap hentakan belakang mengguna pakai Öhlins TTX 36 shock dengan spring titanium manakala brek dikendalikan sepasang kaliper brek monoblock Brembo Stylema R (4 piston) dan cakera brek 330mm (depan) serta 245mm (belakang).

Sementara itu, setiap pembelian Ducati Superleggera V4 turut membolehkan pelanggan mengalami ‘SBK Experience’ dengan menunggang Ducati Panigale V4 R (spec WorldSBK) di litar Mugello, Itali.

Bukan itu sahaja, daripada 500 pemilik Superleggera V4, 30 yang terpilih akan mendapat peluang alami ‘MotoGP Experience’ dengan menunggang jentera Ducati Desmosedici GP20 di litar bersama pelumba Ducati antaranya Jack Miller, Francesco Bagnaia, atau Johann Zarco.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply