Saya Dah Menyampah, Tanya Yamaha Apa Masalah Sebenar – Vinales

MotoGP musim 2020 akhirnya menutup tirai dengan pusingan di Litar Portimao, Portugal, menyaksikan Miguel Oliveira muncul pemenang.

Namun, pusingan akhir itu merupakan mimpi ngeri buat pelumba Yamaha apabila Maverick Vinales, Valentino Rossi dan Fabio Quartararo (Petronas SRT) sekadar menduduki tempat ke 11, 12 dan 14 dengan jentera YZR-M1 2020.

*Morbidelli raih tempat ketiga di GP Portugal

Franco Morbidelli merupakan satu-satunya pelumba Yamaha (Petronas SRT) yang cemerlang apabila menaiki podium di tempat ketiga meskipun dengan jentera ‘spec A 2019’.

Vinales yang beberapa kali berdepan masalah jentera termasuk terpaksa bermula di lorong pit di Valencia tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya terhadap jentera 2020 itu.

“Jentera M1 itu seakan tidak berfungsi. Tanya Yamaha apa masalah sebenar.

“Secara jujur, saya dah letih nak bercakap tentang perkara yang sama berulang kali.

“Saya tidak suka memberi alasan tetapi kadang kala bercakap saja tidak berguna kerana kami masih tiada penyelesaian terhadap masalah ini.

“Situasi ini bukan mudah buat saya, meskipun saya cuba kekal tenang dan positif,” jelasnya.

Walaupun kenyataan Vinales ini dibuat selepas selesai sesi kelayakan pada Sabtu apabila dia sekadar mendapat petak ke-8, rasa kecewa terhadap jentera M1 itu nyata berasas apabila sekadar menghuni tempat ke-12 di hari perlumbaan.

*Vinales raih tempat ke-11 di GP Portugal

Vinales turut mempersoal mengapa beberapa individu penting tiba-tiba hilang antaranya seorang juruteknik Ohlins termasuk seorang jurutera Jepun.

Musim 2020 juga menghampakan bagi Quartararo yang pada awalnya mendahului kejuaraan dunia sebelum masalah jentera menghimpit kariernya dalam musim terakhir bersama Petronas SRT.

Sekiranya Yamaha gagal mencari jalan penyelesaian apatah lagi pembangunan enjin baharu dibekukan sehingga penhujung tahun depan, mimpi ngeri akan terus menghantui para pelumba Yamaha musim 2021.

MotoGP kembali membuka tirai Februari depan dengan sesi ujian Sepang Shakedown. – GPOne

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]