MotoGP: Oliveira Dominasi Aksi Penutup Tirai 2020 Di Litar Portimao

Miguel Oliveira berjaya merekodkan kemenangan kedua musim ini setelah mendominasi aksi penutup tirai 2020 di laman sendiri.

Pelumba Tech3 KTM itu berjaya mengekalkan kedudukan selaku pendahulu sehingga ke lap terakhir selepas mencatat masa terpantas sewaktu sesi kelayakan, semalam.

Tempat kedua jadi milik pelumba Pramac Racing, Jack Miller selepas berjaya memintas Franco Morbidelli di sektor terakhir.

Kejayaan Miller turut membantu Ducati memenangi Kejuaraan Dunia Pengeluar 2020 buat kali pertama sejak 2007.

Sementara itu, Joan Mir, yang telah pun mengesahkan status selaku juara dunia minggu lalu gagal menamatkan perlumbaan apabila jenteranya mengalami masalah teknikal.

*Joan Mir mengesahkan kejuaraan dunia di Valencia minggu lalu.

Manakala rakan sepasukan di Suzuki Ecstar, Alex Rins menamatkan musim 2020 di kedudukan ketiga kejuaraan dunia.

Dalam perkembangan lain, Enea Bastianini merangkul kejuaraan dunia Moto2 selepas mengutip 205 mata meskipun menamatkan aksi di tempat kelima.

Pelumba Onexox TKKR SAG Team, Remy Gardner berjaya merekodkan kemenangan sulung di Moto2 selepas mengetepikan cabaran Luca Marini manakala Sam Lowes ketiga.

Bastianini akan melangkah ke kelas premier musim depan bergandingan dengan Marini di Avintia Ducati manakala Gardner akan ke Ajo KTM di Moto2.

Manakala Moto3 menyaksikan Albert Arenas dinobat juara dunia dengan 174 mata dalam aksi penuh sengit di Portugal.

Pelumba Aspar Team itu hanya empat mata dihadapan Tony Arbalino dan Ai Ogura.

Kejayaan Arenas turut menyaksikan pelumba itu akan beraksi di Moto2 musim depan.

Dalam perkembangan berbeza, wakil Ducati, Andrea Dovizioso mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu selepas lapan tahun bersama.

Cal Crutchlow turut meninggalkan LCR Honda selepas tempatnya diisi Alex Marquez musim depan namun akan bertkhidmat selaku pelumba uji Yamaha selepas ini.

Valentino Rossi turut meninggalkan pasukan factory Yamaha selepas 15 tahun bersama pasukan itu. Rossi akan mewakili Petronas Sepang Racing Team (SRT) bagi musim 2021.

MotoGP akan kembali membuka tirai dengan Sepang Shakedown (Winter Test) pada Februari 2021.