MotoGP: Joan Mir Juara Dunia Musim 2020

Advertisements

Joan Mir melakar sejarah selaku juara dunia baharu MotoGP musim 2020.

Ini merupakan kejayaan pertama pasukan Suzuki selepas kali terakhir dilakukan Kenny Roberts Jr pada 20 tahun lalu.

Meskipun gagal menaiki podium di GP Valencia namun kutipan 171 mata sudah cukup buat pelumba kelahiran Palma, Sepanyol itu untuk muncul juara dunia hanya dalam musim keduanya di kelas premier.

Pelumba Petronas Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli merekodkan kemenangan ketiga musim ini setelah berjaya mendahului perlumbaan sehingga ke lap terakhir diikuti Jack Miller (Pramac Racing) dan Pol Espargaro (Red Bull KTM Racing) ketiga.

Meskipun beraksi dengan jentera Spec A 2019 namun situasi itu tidak menyekat Morbidelli untuk terus membuktikan kemampuannya di kelas premier itu.

Sementara itu, Mir muncul juara dunia meskipun hanya mencatat satu kemenangan musim ini – minggu lalu di litar sama – namun kemampuan untuk mengutip mata penting secara konsisten ternyata membuahkan hasil bagi pelumba berusia 23 tahun itu.

Nasib malang terus menimpa Fabio Quartararo apabila terbabas di Turn 6 manakala Takaaki Nakagami juga gagal menamatkan aksi sewaktu dalam percubaan untuk memintas Espargaro dalam perebutan tempat ke-3.

Dalam perkembangan sama, rakan senegara dan enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez serta tiga kali juara dunia, Jorge Lorenzo turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Mir yang muncul pelumba Sepanyol ketiga untuk merangkul juara dunia.