Honda Perkenalkan NC750X 2021 – Kini Dengan Fly-By-Wire, 58.8HP!

Honda NC750X mendapat pelbagai kemas kini terbaru bagi tahun 2021.

Bagi tahun 2021, model baharu ini kini didatangkan dengan sistem fly-by-wire dan sistem ekzos serta valve timing yang telah dipertingkat.

Hasilnya, enjin parallel 2-silinder 745cc dengan penyejukan cecair – yang kini patuh Euro5 – menawarkan 58.8hp pada 6,750rpm (peningkatan 4hp berbanding model sebelumnya) dan 69Nm pada 4,750rpm.

Selain daripada fly-by-wire, Honda NC750X 2021 ini juga dilengkapi dengan Honda Selectable Torque Control dengan tiga tetapan berbeza berbanding hanya dua tetapan sebelum ini.

Tunggangan juga tampil lebih efisien dengan penggunaan throttle elektronik yang kini menawarkan tiga mod tunggangan termasuk satu mod User yang membenarkan penunggang membuat tetapan sendiri.

Bagi yang berminat dengan varian tertinggi yang lengkap dengan transmisi DCT (dual clutch tranmission), sistem tersebut juga telah diperkemas bagi menawarkan prestasi enjin dan gear yang lebih efisien.

Secara keseluruhan, rekaan NC750X ini tampak lebih model dengan reka bentuk yang turut dibantu dengan penggunaan lampu LED termasuk daytime running light (DRL).

Honda turut mendakwa reka bentuk fairing juga telah dipertingkat bagi melindungi penunggang daripada keadaan cuaca pelbagai.

Bukan itu sahaja, Honda turut merendahkan ketinggian tempat duduk kepada 800mm berbanding 830mm sebelum ini hasil daripada penggunaan kerangka serba baharu yang kini 1.8kg lebih ringan.

Sistem ‘suspension’ pula hadir menerusi fork teleskopik 41mm yang dibantu oleh Show Dual Bending Valves yang boleh diselaraskan bagi compression dan rebound.