Lee Lam Thye Gesa Kerajaan Tambah Laluan Motosikal, Hadkan Kelajuan

Aktivis sosial dan pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, menggesa kerajaan untuk mewujudkan laluan berasingan bagi motosikal di seluruh negara.

Menurut Lee Lam Thye, tindakan kerajaan meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi menangani insiden membabitkan pemandu mabuk sememangnya dipuji namun menyifatkan keutamaan yang sama tidak diberikan kepada penunggang motosikal.

“Cadangan ini berkenaan dengan keselamatan penunggang motosikal yang merupakan pengguna jalan raya paling terdedah dengan kemalangan maut.

“Contoh terbaik adalah laluan motosikal di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan dari Petaling Jaya hingga ke Klang.

“Menurut statistik, purata hanya dua kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal berlaku dalam setahun,” jelasnya.

Sementara itu, aktivis tersebut turut mencadangkan agar kerajaan menghadkan kelajuan motosikal.

“Langkah kedua adalah menggubal undang-undang bagi menghadkan kelajuan motosikal yang kini menjadi kebiasaan untuk menunggang secara melulu dan laju tanpa perlu risau akan dikenakan tindakan.

“Bagi mengurangkan perbelanjaan dalam menyediakan laluan berasingan bagi motosikal, pihak berkuasa seperti Kementerian Pengangkutan dan polis boleh hadkan penunggang motosikal untuk menunggang hanya di lorong lebuh raya paling kiri.

“Hanya dengan cara ini, kenderaan dua roda tidak boleh menggunakan di lorong laju yang menjadi antara penyebab utama kemalangan maut di kalangan penunggang motosikal.

“Ikatan Komuniti Selamat melihat cadangan ini boleh dilaksanakan dan praktikal. Hanya berlandaskan logik akal,” tambahnya. – Bernama